Sejarah Tanjong Malim

Tanjung berasal dari bentuk tanjung di ulu Sungai Bernam. Malim pula berasal dari kata "muallim" yang bermaksud orang yang sangat berilmu.

Pada 19 September 1903, rangkaian kereta api telah dibina antara Perai di Seberang Perai melalui Tapah Road ,Tanjong Malim dan Kuala Kubu terus ke Seremban sepanjang 450 km.[1]

Pada 1922, Maktab Perguruan Tanjung Malim ditubuhkan oleh British atas desakan Sultan Idris. Maktab ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Kerajaan Negeri-Negeri Selat menggantikan Maktab Perguruan Melaka dan Maktab Perguruan Matang, Taiping, Perak yang ditutup. Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir George Maxwell telah merasmikan maktab ini dan pengetua pertamanya ialah O.T Dussek.[2]

Pada 25 Ogos 1957, seramai 2000 penduduk Tanjong Malim menyertai gerakan menentang komunis kerana hutan Tanjong Malim dan Sungai Bil serta hulu Sungai Bernam menjadi kubu pengganas komunis. 2000 orang ini memasuki hutan belantara dan menyeru 5 orang pengganas komunis yang masih aktif agar menyerah diri. Kapal terbang turut digunakan, menggunakan pembesar suara agar pengganas komunis menyerah diri. Kawasan tinjauan sehingga 4 batu radius selama 4 jam sejak jam 9.00 pagi. Mereka termasuklah Jawatankuasa Rakyat Setia Tanjung Malim. Tentera dari Batalion ke-5 Askar Melayu serta 13 unit Pasukan Polis Persekutuan serta tentera udara turut membantu dan menjaga keselamatan.[3]

Pada 22 Disember 1958, Sekolah Menengah Melayu Tanjung Malim dinamakan sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abdul Razak sempena nama Timbalan Perdana Menteri Malaysia,Tun Abdul Razak Hussein. Menteri Pelajaran, Encik Mohd Khir Johari datang merasmikan bangunan baru sekolah, dengan kos RM1.5 juta. Pembinaan ini selaras dengan Penyata Razak 1956.[4]

Plaza Tol pertama di Malaysia terletak di jalan besar antara Slim River ke Tanjong Malim dibuka pada 1964. Jalan dua hala sepanjang 20 km ini dinamakan 'Lebuh raya Tanjung Malim-Slim River'. Jalan besar ini dikenakan tol, sebelum Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Plus mula dibina pada 1988 dan siap pada 1994. Sistem jalan raya bertol ini yang pertama di Asia.[5]

Pada 1995 Perjanjian Pembangunan Tanah Industri Tanjung Malim diadakan.Perak diwakili oleh Menteri Besar Perak,Tan Sri Ramli Ngah Talib, Hicom oleh Presidennya Tan Sri Jamil Rais Mohd Jan dan Proton oleh Pengarah Urusan, Datuk Nadzmi Mohd Salleh. Tanah seluas 1,260 hektar digunakan untuk mengeluarkan 500,000 unit kereta Proton Gen-2 dan lain-lain.Majlis pecah tanah tapak Proton dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 23 Mac 1996. [6]

Pada 1996, landasan kereta api berkembar antara Rawang - Ipoh diluluskan. Tanjong Malim dan Serendah turut menikmati kemudahan ini. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik memaklumkan bahawa projek ini seperti di Jepun dan Itali. Kelajuan maksimum kereta api ini ialah 250 kilometer/jam untuk jalan lurus dan 120 kilometer/jam untuk laluan selekoh.[7]

Rujukan

WikiPedia: Tanjong Malim http://docs.google.com/viewer?a=v&q=cache:tFDBOrr9... http://bhlcomputers.com.my/wp/ http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&ite... http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&ite... http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&ite... http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&ite... http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&ite... http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&ite... https://proton.autodeal.my/sa/rawang/ https://protonsales.online/